Wednesday, July 21, 2010

thankz!

to all my friends!!! thank u for everything in the past 2 years. goodluck with life and i know u will bounce back!!!

GDLUCK!!!

Thursday, July 1, 2010

Tentang Kita

*apologi kepada Mohamad Fahroni Hamdan

Matari itu begitu licik menyelinap lewat celah-celah diagonal alam dan saat ini ada segaris cahayanya terpalit pada wajah saya. Tersorok di suatu pojok, saya menghadap skrin komputer riba sambil fikiran menerawang hingga ke ruang infiniti. Tergambar wajah-wajah mereka yang sebenarnya saya sayang. Nah, jari-jari saya pun mulailah mengetuk-ngetuk susunan keypad yang berterabur aksaranya. Jimbam saya menaipnya. Namun wajah-wajah mereka terus membawa hati saya untuk berkisah tentang mereka, mungkin menggunakan teknik epistolari lebih sesuai untuk ceritera ini kerana saya kira prakarsa begini lebih longgar buhulan bahasanya. Ayuh, kita mulakan hikayat empat belas bersahabat ini!

Warkah ini mencakupi beberapa aspek yang sama bagi setiap individu. Berpangkalkan mata, bermuarakan hati, berhulukan gerak tubuh, saya akan cuba menggarap setiap satu daripada mereka sejujur-jujurnya. Perlu difahami, bait-bait di bawah insyaAllah sudah mengambil kira fitrah kewujudan setiap khalifah yang tercantum bukan sahaja dengan pelbagai kelebihan tetapi terlanggam juga dengan rencam cacat cela.

Tatkala pertama kali tangan-tangan mereka saya jabat, satu demi satu terasa kehangatan yang begitu mesra mendakap seluruh perasaan saya yang biasanya dingin. Tatkala pertama kali wajah-wajah mereka saya tatap, mereka kelihatan begitu suci sekali. Pertemuan ini setidak-tidaknya melonggarkan sedikit pautan pada tubuh saya yang dahulu kaku digelungi kesusahan hidup, mungkinkah kehadiran saya ke Kolej MARA Seremban yang dalam keterpaksaan ini akan merubah segalanya?

Pertemuan dimulakan dengan; (mengikut urutan pertemuan)

Nur Nadiah,

Bibit dimulakan pada mata kerana pada genang mata hitamnya ibarat kolam rahsia yang menyembunyikan seribu macam persoalan, persoalan yang membusut di dalam hatinya entah berapa lama. Memang sungguh cantik tatapan pasangan ainun itu, selaras dengan kesegakannya dalam setiap tampilan. Bagi saya dia cukup matang dalam pemikiran, seringkali kelihatan seperti dia cuba memahami orang lain, tetapi sayang dia masih tercari-cari identiti diri sendiri. Saya pasti dia seorang yang mampu belajar mandiri sementelahan dia memang berkeyakinan tinggi, deskripsi gerak tubuh yang pantas untuknya adalah seni laku anggun yang cukup terserlah, lebih-lebih lagi bila dia kelihatan gembira. Buat Nadiah, jangan berhenti belajar daripada kehidupan. Kamu sangat akrab dengan saya dari mula lagi kita bertentang mata. Percayalah saya tak pernah terluka biarpun pernah dicela. Sayang kamu wahai sahabat, wahai penasihat, wahai pendengar yang tidak penat.

Nur Diyana,

Dari atas sampai ke bawah adik yang satu ini sangat comel. Mungkin dia sudah muak dengan julukan begitu, tetapi itulah anugerah yang Allah telah pinjamkan buatnya. “Adik, kamu ini sangat dangkal dengan asam garam kehidupan, serasa saya kehadiran kami yang terdiri daripada pelbagai keragaman ini sudah pasti banyak mengajar kamu, bukan? Tapi adik janganlah berasa kecil walaupun seadanya adik memang kecil, adik kena optimis, nanti pandai-pandailah memilih teman ya? Hidup kita sekarang baru sahaja berkisar di sekitar daerah permulaan, kalau diibaratkan kehidupan ini seperti sebatang sungai, semua kita berarus dari lembah yang tinggi menuju lautan yang luas, gejolak yang bakal dihadapi pasti lebih mencabar di lautan yang luas kerana ombaknya kuat, beralun ke tepi menghempas pantai. Jadi usah adik berasa terancam sekarang kerana kita baharu sahaja dilambung olengan arus sungai yang pukul-pukul anak. Kami semua sayangkan adik”.

Afiq Nazmi,

Jika dijenakkan titis-titis embun sedang fajar menyinsing, kelembapan ketika itu seakan-akan dirasai oleh mereka yang sudah terjaga. Betapa embun itu benar-benar menyejukkan hati. Umpama teman yang seorang ini, sehelai daun lebar yang menadah lebih banyak tumpah-tumpah embun, yang bercak-bercak menitis dari satu daun yang lebih tinggi ke satu daun di bawahnya, dan begitulah seterusnya ia mengalirkan kesejukannya kepada kami . Pasti mereka tersenyum apabila analogi dibuat sebegini rupa terhadapnya. Tapi kita tidak diajar Nabi untuk menolak kebenaran, bukan? Dia seorang yang periang tetapi sering juga jiwanya dihambur angin perasaan yang tidak menentu. Ada gaya tersendiri dan kelihatan dari tingkahnya, dia sentiasa ingin yang lebih baik dan menjadi lebih baik. Namun begitu, langka sekali dia untuk maju kehadapan walaupun dia sudah tahu inti bicara sesuatu perkara. Punya perasaan yang sering dipendam. “Chill ! beranikanlah diri untuk meluahkannya. Apa nak malu kalau memang itu fitrahnya. Ibarat embun tadi, yang semulajadinya pasti akan muncul pada daun mengikut waktu-waktu tertentu”.(sumpah blade tak paham analogi ni).

Raja Zarith Fatiah,

Sudah lama tidak bercinta dengan kilau matanya. Kelihatan seri pada mata itu kian pudar buat beberapa sela masa. Saya suka karakternya yang ceria, tetapi saya sedar manusia adalah ciptaan yang kompleks dan unik, pada setiap tawa siapa yang tahu adanya tersimpan air mata? Tidak dinafikan kemesraan yang ada padanya menjadi value-added yang tidak dapat diekspresikan sebegitu akrab oleh semua orang. Ditambah lagi dengan kepintaran akal fikirnya dan tidak ketinggalan rupa paras yang cukup lawa, saya rasa dia sudah ada ciri kesederhanaan sebagai seorang yang bergender perempuan. Namun begitu, dia lebih cenderung untuk tidak menyedari kelebihannya, dari satu sudut kerenah ini mungkin memperlihatkan sifat tawadha’ tetapi apa yang lebih menonjol ialah sikap paradoksikalnya dalam menerima hakikat kejadian. Dia akan jadi lebih ceria, jika dia berjaya mengecap kegembiraan yang autentik. Saya yakin itu. Zarith, kamu memang terbaik(ini ayat menganjing).

Ahmad Sufyan,

Salah seorang sahabat yang begitu dekat dengan saya, sebagai seorang kritikus, dia memiliki daya fikir spontan yang sangat tajam, dalam erti kata lain, dia mampu berfikir dengan cepat. Selalu tampil keanak-anakan namun dari pojok pemikiran dia sebenarnya lebih rasional berbanding beberapa teman yang lain. Sungguh diakui bahawa dia banyak keupayaan yang sinonim dengan saya, lebih-lebih lagi dari segi akademik tapi dia lebih memilih untuk menampakkan kelangsungan jalur upayanya berbanding saya. Mungkin kerana kami berpaut pada prinsip yang berbeza. Beralih kepada emosi, benarlah julukan lagu sekitar 90-an,Wajah Rahsia Hati, kadangkala terpancar pada wajah ala-ala hindustannya itu mimik-mimik yang boleh ditafsir sebagai penanggungan emosi secara internal. Walaubagaimanapun dia jarang meringankan mulut untuk berkongsi cerita dengan rakan-rakan yang lain. Apa-apapun, saya kira dia seorang yang lebih baik dari saya kerana dia lebih pemurah. Semoga lekas kahwin(zzzz). Saya harap dia memilih untuk terus memani sahabatnya yang tidak sempurna ini.

Muhammad Hafiz,

Saya rasa dia umpama bayang-bayang bagi saya. Kehadirannya amat bermakna sebagai seorang sahabat yang sangat memahami, banyak sebenarnya kalau kalian jenak semula jasa-jasa yang telah dia tabur dalam memainkan peranan sebagai seorang sahabat. Dia selalu datang dengan pelbagai idea yang menarik, sedar atau tidak ilhamnya membuatkan kita semua bersatu. Saya juga kagum dengan kebolehanya berfikir dan mengenap-enapkan sesuatu perkara. Luar daripada pemikiran tipikal. Kalau rupa paras tak usahlah dibahas lagi rasanya. Semua orang tahu kelebihannya dari segi itu. Buat dia, saya tak perlu menulis panjang kerana dia cukup mengerti kedalaman perasaan saya terhadap persahabatan ini. Senyumlah wahai sahabat selagi kemanisan itu masih milikmu.

Nuraini,

Kemanisan memang milikmu kawan, buat pinjaman untuk tatapan walaupun kamu sudah banyak berubah sekarang. Kamu kelihatan semakin matang dengan takdir dan pilihan. Aini, namamu semanis wajahmu, maka jangan pernah kamu merubah namamu untuk menjadi tawar. Kelembutan juga kamu yang menang, dari nada hingga ke tingkah, kamulah yang punya. Untuk pengetahuan, sebagai tempat mengadu saya memegang rencam luahan dan perasaan orang, dan ada di antara mereka yang berkongsi rasa dengan saya menyatakan rasa tertarik mereka kepada kamu. Hanya keraguan yang menjadi penghalang pendekatan mereka. Ragu terhadap status kamu. Untuk itu, biarpun saya sering mengatakan kamu semakin gemuk atau eufemismenya kamu semakin berisi, kamu masih lagi mempunyai daya tarikan yang kuat, saya akui itu. Apa-apapun Aini, penantian itu suatu yang tidak pasti kerana kita manusia tidak akan mengerti bagaimana Al-Khalik mengurus alamnya. Maka berserah kepada-Nya adalah keputusan yang terbaik kerana ketenangan pasti ditiupkan-Nya sebagai pinjaman buatmu. InsyaAllah(rajin-rajin sikit jogging)

`Ainnatul Adawiyah,

Sosok yang satu ini mempunyai sikap formalistik yang mana kadang-kadang dapat dilihat dia mudah teringgang-inggung dalam paradigmanya sendiri. Kak Long, nama itulah yang biasa kami gelar padanya dahulu. Tapi kadang-kadang gementar juga bila melihat dia menarik wajah mendengar panggilan itu. Tidak semua orang boleh memahami kehendaknya, jika ada yang memahami sekalipun tidak ramai yang mampu istiqamah meladeni kemahuan dan prakarsa hidupnya. Apa yang pasti sikap itulah yang menjadi bumbu keunikan yang acapkali mengukir pancaran euforia pada wajahnya. Tambahan kepada hal itu, keunikan juga terpapar pada cara penampilan dan penggayaannya yang aneh tetapi menarik(bagi saya secara peribadi). Formalistik yang diamalkannya menjadikan dia seorang yang cukup teratur dalam menguruskan tugasan yang diberikan. Sungguhpun begitu, sedikit pertentangan wujud dalam hati saya apabila melihat pemikirannya yang lebih suka memilih jalan panjang daripada melalui jalan pintas. Mungkin ini yang dikatakan ‘multifokal’ dalam psikodinamika wanita.(boleh bantah jika tidak setuju, you know how to text me dear). Apa-apapun kamu seorang kakak yang baik.

Wan Ahmad Faiz,

Fasal mengarut sahabat yang satu ini memang licik. Kelicikannya lebih rinci dari syaitan. Berhati-hatilah. Walaubagaimanapun, pada dasar atmanya yang terdalam, ada ujana yang menyimpan khazanah kebaikan dan ketulusan. Lihatlah bauknya, menjadi perlambangan kepada sikapnya yang arif dan terbuka. Abe, walaupun kurang berkeyakinan tetapi dia tidak pernah putus asa untuk mencuba. Dan kekentalan hatinya ini dilihat banyak mengajarnya hidup mandiri. Saya puji itu. Dia selalu menjadi tempat saya mengadu dan sememangnya dia seorang yang boleh dipercayai. Selain itu, walaupun bersifat agak paradoksikal dengan tanggapan biasa orang terhadapnya, Abe pada hakikatnya seorang yang pemurah jika kita paksa dia untuk jadi pemurah. Saya doakan yang terbaik untuk kamu sahabat. Teruslah berjuang di manapun kamu berada.

Norfadhilah,

Senyumannya yang begitu langka membuatkan saya ketagihan. Ketagihan peluang-peluang untuk berbicara dengannya. Berbicara dengannya penuh dengan kata-kata semangat yang menyalakan kembali waktu-waktu malap yang saya alami. Wajahnya yang tenang juga seringkali mengendurkan ketegangan dan kekejangan akal fikir saya. Sememangnya, walaupun dalam kesenyapan, dia sering hadir dengan idea-idea yang menarik. Fora ungu yang menakluki aura dirinya menjadikannya seorang yang unik dalam misterius. Sikap santainya menjadi tarikan buat saya/ kami(guys) untuk mengusiknya ketika Mamat tidak diusik. Fad, walaupun kamu jarang berkongsi cerita dengan kami, namun begitu, ekspresi kamu cukup jelas untuk menceritakan kisah yang terbuku dalam hati kamu walaupun tafsirannya hanya terungkap secara harfiah. Teruskan kesantaianmu teman.

Muhammad Syafiq Anwar,

Wajah kerisauannya sering membuat saya risau, wajah kegembiraannya begitu membuat saya gembira. Mamat yang satu ini sangat memberikan impak dalam kehidupan saya sehari-hari sewaktu bersamanya di kolej ini, walaupun dia tidak pernah menyedari akan hal itu. Saya cukup kagum dengan kegigihannya, kesungguhannya dalam mencapai sesuatu. Walaupun dia pada awalnya kurang keyakinan diri tetapi saya dapat lihat lonjakan yang diatur dalam sukmanya. Baiknya mamat yang satu ini sehinggakan dia sering menjadi bahan untuk kami bersenda ketika bosan, sungguhpun begitu dia masih lagi tersenyum, masih lagi melayan tanpa menghiraukan perasaannya. Karakternya yang cukup tabah memberikan saya inspirasi untuk terus berjuang. Jika ditinjau pemikirannya, dia cukup mengambil berat hal-hal yang besar yang memungkinkan dia menjadi seorang yang besar kelak(amin). Isteri pun besar.

Nursharifatul Farhana,

Satu ketidakpuasan yang saya kesali kerana tidak sempat menjadi orang yang rapat dengannya. Hanya dapat melihat kegirangan dan kesakitannya nun dari jauh. Tidak berkongsi rasa sebagai seorang sahabat seperti mana yang lain. Maafkan saya ye Nana, sejujurnya masa dua tahun itu tak di bancuh semanis-manisnya dengan kenangan yang indah antara kita. Sehinggakan kesedihan yang begitu autentik terasa semasa Makan Malam Akhir (dinner) tempoh hari, apabila perasaan saya begitu janggal untuk memulakan perbualan dengan kamu. Seolah-olah kita bukan dalam kelas yang sama. Tapi Nana, sungguhpun begitu, saya begitu kagum dengan kegigihan dan keupayaan kamu. Lebih-lebih lagi keyakinan dan keberanian yang menguasai diri kamu. Tidak semua orang memiliki itu. Semoga suatu hari nanti Allah memberikan saya satu lagi peluang untuk mengenali kamu lebih baik. Dan peluang itu akan saya gunakan sebaik mungkin. InsyaAllah.

Muhammad Shazril Imri,

Sahabat yang satu ini, saya temui sewaktu berada dalam kumpulan kelas buat pertama kali di Dewan Razak. Waktu itulah pertama kali saya perasan dia. Dia yang terakhir dalam kalangan kalian. Wajah yang penuh dengan kebaikan yang tersembunyi. Penuh komplikasi dan kompleksiti yang rumit dalam pemikirannya. Mempunyai daya fokus yang kuat sebenarnya. Banyak kebolehannya yang tidak diaktifkan. Mungkin terencat dek komplilkasi dan konflik diri yang penuh emosi. Seolah-olah hilang tempat berpaut, dia pernah mengasingkan diri daripada semua orang. Namun begitu, saya percaya dia belajar sesuatu daripada khalwat yang panjang itu. Bangkitlah teman, bawa pemikiranmu dan masa-masa kegemilanganmu bersama. Jangan bangun dengan kekosongan. Sungguh kecelaruan fikiranmu banyak mengajarku teman. Terima kasih kerana tidak pernah malu berkawan dengan saya, mendengar celoteh saya yang hambar tiada berisi. Terima kasih bukan ucapan yang tuntas untukmu teman. Tapi itulah sahaja yang mampu diucap ketika ini(takkan nak kata I love u kat sini kn).

Saya,

“Huh….”.
Akhirnya, sinar yang sebaris itu mula malap tidak lagi menyilaukan mata apabila matari yang begitu licik tadi sudah bersembunyi ke daerah lain. Saya masih tekun memerhatikan perenggan yang terakhir ini. Bingung untuk berkisah apa tentang diri sendiri. Siapa saya sebenarnya? Sudah pasti yang paling ganjil dalam kalangan mereka. Mungkin sebab itu saya mengarang warkah ini. Sebab keganjilan yang mereka tiada, maka saya rangkai semua untaian kata-kata ini, sebab kelainan yang mereka lihat, maka saya baitkan segala santunan ini, sebab perbezaan yang mereka rasa, maka saya luahkan semua warna perasaan ini. Mengapa ya? Sebab nama-nama di atas ialah mereka yang saya sayang. “Saya harap kalian belajar sesuatu daripada keganjilan,kelainan yang saya miliki serta perbezaan antara kita. Mungkin saya tak mampu bertahan lama,tiada siapa yang tahu bila ajalnya akan tiba, tetapi indikatornya ada dan perubahan ke arah itu semakin terasa seiring dengan masa yang berlalu. Sengaja saya rahsiakan di sebalik wajah yang berlapis-lapis. Kawan-kawan banyak mendidik saya. Terima kasih atas segala jasa yang telah ‘menyempurnakan’ saya”.Setitik air mata mengakhiri kalam saya kali ini.

Salam 14 bersahabat. Keep in touch if you are touched.